Chlorhexidine atau larutan antiseptik lain: yang mana lebih baik untuk mencegah jangkitan pada bayi baru lahir dengan saluran sentral?

Mesej utama:

    • Disebabkan kekurangan bukti kukuh, faedah dan risiko chlorhexidine dalam alkohol berbanding povidone-iodin (PI) sebagai larutan antiseptik untuk memasukkan saluran sentral pada bayi baru lahir adalah tidak jelas.

    • Penggunaan povidone pada bayi pramatang mungkin boleh mengurangkan tahap hormon tiroid, iaitu hormon penting untuk pertumbuhan dan perkembangan.

    • Bilangan kajian yang terhad dan kekurangan kajian dari negara berpendapatan rendah serta sederhana mengurangkan keyakinan kami terhadap kepastian dan kebolehgunaan bukti.

Apakah kateter sentral?

Bayi yang memerlukan rawatan rapi mungkin memerlukan saluran khas, dikenali sebagai saluran sentral, dimasukkan ke dalam saluran darah mereka. Saluran sentral diperlukan untuk pelbagai sebab, termasuk memberi ubat dan nutrien. Saluran sentral ini penting tetapi boleh membawa kepada pelbagai komplikasi. 

Apakah jangkitan aliran darah berkaitan kateter (CRBSI) dan jangkitan aliran darah berkaitan saluran sentral (CLABSI)?

Jangkitan serius adalah antara komplikasi yang paling kerap berlaku pada memasukkan saluran sentral. Jangkitan yang berpunca atau mungkin berpunca dari saluran sentral masing-masing dipanggil CRBSI dan CLABSI. Jangkitan ini berpotensi dicegah dengan menggunakan larutan antiseptik pada kulit sebelum memasukkan talian.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami berminat untuk mengetahui larutan antiseptik yang terbaik dalam:
    • mencegah CRBSI/CLABSI;

    • mengurangkan kadar jangkitan dalam darah;

    • menghalang pertumbuhan kuman di dalam kateter.

Kami juga berminat untuk mengetahui sama ada penggunaan larutan ini meningkatkan risiko kerengsaan kimia pada kulit bayi atau menyebabkan kesan buruk yang lain.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan: 

    • jenis larutan antiseptik yang berbeza-beza; atau 

    • kepekatan yang berbeza-beza bagi larutan antiseptik yang sama.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian: satu dari Amerika Syarikat, satu dari UK dan satu dari Ireland. Kajian ini melibatkan 466 orang bayi dan telah dijalankan di unit rawatan rapi neonatal. Dua kajian membandingkan 10% PI berbanding 2% chlorhexidine dalam 70% isopropil alkohol. Kajian ketiga membandingkan dua persediaan chlorhexidin yang berbeza: larutan berasaskan alkohol, dan larutan berasaskan air. Semua kajian melibatkan bayi pramatang yang dilahirkan antara 26 hingga 35 minggu kehamilan dan mempunyai berat lahir antara 1000 g dan 2000 g. Tiada kajian yang dibiayai oleh syarikat farmaseutikal. 

Keputusan utama

Dalam kajian yang membandingkan 2% chlorhexidine dalam 70% alkohol (CHG-IPA) dan PI:
    • Berbanding PI, penggunaan CHG-IPA mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam CRBSI (2 percubaan, 352 bayi) dan kematian (1 kajian, 304 bayi). Adalah tidak jelas sama ada CHG-IPA mengurangkan kulit terbakar dan CLABSI (2 kajian, 352 bayi).
    • Penggunaan 10% PI boleh mengganggu penghasilan hormon tiroid (1 kajian, 304 bayi). 

Berbanding dengan chlorhexidine berasaskan air, chlorhexidine berasaskan alkohol mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar CRBSI dan CLABSI yang terbukti serta mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kerengsaan kulit (1 kajian, 114 bayi).

Apakah batasan bukti?

Berbanding dengan PI, kami mempunyai sedikit keyakinan bahawa chlorhexidine lebih baik untuk mencegah CRBSI, CLABSI, atau kematian, dan kami tidak yakin dengan bukti bahawa chlorhexidine lebih baik daripada PI untuk hasil lain. Kajian yang disertakan adalah kecil, dan orang yang terlibat dalam kajian itu menyedari larutan yang diterima oleh bayi, yang mungkin telah mempengaruhi hasilnya. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 22 April 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information