Adakah rawatan sinar-X (radioterapi) selepas pembuangan tisu payudara (mastektomi) lebih baik daripada tiada rawatan sinar-X pada wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara yang telah merebak ke satu hingga tiga nodus limfa aksiliari?

Mesej utama:

• Radioterapi selepas pembuangan payudara (juga dikenali sebagai mastektomi) boleh mengurangkan kanser kembali ke dinding dada dan di nodus limfa berdekatan.

• Radioterapi mungkin memperbaiki kelangsungan hidup pada wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara yang mempunyai 1 hingga 3 nodus limfa yang terlibat.

• Kami menjumpai satu kajian antarabangsa yang sedang dijalankan yang seharusnya memberikan lebih banyak bukti apabila ia telah selesai.

Apakah itu kanser payudara?

Kanser payudara adalah kanser yang paling banyak menjejaskan wanita di seluruh dunia. Penambahbaikan dalam rawatan (ubat antikanser) yang menyasarkan seluruh badan sepanjang 2 dekad yang lalu telah menyebabkan pengurangan kematian yang berkaitan dengan kanser. Perkembangan berulang di dinding dada dan nodus limfa berdekatan selepas rawatan awal kanser payudara boleh meningkatkan risiko penyebaran kanser. Risiko kanser ditunjukkan berulang di dinding dada dan nodus limfa berdekatan dan adalah lebih daripada dua kali ganda pada wanita yang didiagnosis dengan 1 hingga 3 nodus limfa aksiliari positif berbanding penyakit nod-negatif.

Apakah peranan rawatan sokongan tambahan dalam pengurusan kanser payudara?

Radioterapi ialah rawatan sasaran sokongan yang mantap yang mengurangkan pengulangan khusus setempat selepas pembedahan pada wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara. Walau bagaimanapun, penyelidik dalam tempoh 2 hingga 3 dekad yang lalu tidak dapat menunjukkan tanpa ragu-ragu bahawa pengurangan berulang di pusat lokasi dengan radioterapi membawa kepada pengurangan kematian yang berkaitan dengan kanser payudara.

Bilakah radioterapi perlu digunakan?

Penyelidik bersetuju tentang penggunaan radioterapi selepas mastektomi pada wanita yang mempunyai ciri-ciri kanser payudara berisiko tinggi, seperti saiz tumor besar (lebih besar daripada 5 cm) dan 4 atau lebih nodus limfa aksiliari yang terjejas dengan kanser payudara. Walau bagaimanapun, saintis masih tidak pasti tentang peranan radioterapi selepas mastektomi pada wanita dengan ciri-ciri berisiko rendah yang didapati mempunyai 1 hingga 3 nodus limfa aksiliari yang terjejas oleh kanser payudara.

Apakah yang penulis ulasan ingin tahu?

Bagi wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara dan didapati mempunyai 1 hingga 3 nodus limfa yang terjejas oleh kanser, kami bertanya:

• Adakah radioterapi selepas pembuangan payudara mengurangkan kejadian berulang khusus setempat berbanding tanpa radioterapi?

• Adakah terdapat kelebihan kelangsungan hidup bagi wanita yang menjalani PMRT berbanding mereka yang tidak menjalani radioterapi?

• Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang PMRT yang tidak diingini?

• Adakah terdapat perbezaan dalam kualiti hidup wanita yang menjalani radioterapi berbanding mereka yang tidak menjalani radioterapi?

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan radioterapi selepas mastektomi dengan tiada radioterapi pada wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara dengan 1 hingga 3 melibatkan nodus limfa aksiliari. Setelah kami mengenal pasti kajian yang berkaitan, kami membandingkan dan merumuskan keputusan. Kami juga telah menaksir dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang dikemukakan berdasarkan kaedah kajian dan bilangan wanita yang mengambil bahagian dalam kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 3 kajian dengan 725 wanita; 355 wanita menerima radioterapi, dan 370 lagi tidak. Kajian terbesar dijalankan di Denmark dan melibatkan 552 wanita. Baki dua kajian telah dijalankan di Sweden dan melibatkan 104 wanita pramenopaus dan 173 wanita selepas menopaus. Hanya kajian di Denmark yang memberi radioterapi menggunakan kaedah yang setanding dengan amalan zaman moden. Semua kajian mengikuti wanita-wanita tersebut selama 15 tahun atau lebih. Kajian itu dibiayai oleh organisasi amal berdikari tanpa pembiayaan daripada syarikat swasta atau farmaseutikal.

Keputusan utama

Penggunaan radioterapi berbanding tanpa radioterapi pada wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara yang mempunyai 1 hingga 3 nodus limfa aksiliari yang terlibat:

• boleh membawa kepada pengurangan pengulangan setempat; dan

• mungkin memperbaiki kelangsungan hidup sebanyak 24% pada wanita.

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang menilai dengan pasti kesan radioterapi selepas mastektomi terhadap kelangsungan hidup bebas penyakit, kesan jangka pendek atau jangka panjang yang tidak diingini dan kualiti hidup dalam pesakit kanser payudara yang telah pulih.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah hingga sederhana atas 3 sebab utama.

Pertama, kajian yang kami sertakan berlangsung sebelum banyak kemajuan moden dalam rawatan kanser payudara. Kedua, kami hanya boleh mentafsirkan keputusan daripada satu kajian yang menggunakan teknik radioterapi yang dikemas kini. Akhirnya, kajian yang kami gunakan tidak memberikan semua maklumat yang kami mahukan mengenai keberkesanan rawatan jangka panjang dalam peserta.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti yang dikemukakan di sini adalah terkini sehingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information