Rawatan untuk mengurangkan penggunaan alkohol semasa hamil

Mesej utama

Kami dapati dalam kalangan Ibu hamil yang melaporkan penggunaan alkohol semasa hamil, intervensi psikososial ringkas (BI) boleh meningkatkan bilangan wanita abstinen berbanding rawatan biasa (TAU). Mungkin tiada perbezaan antara kumpulan dalam bilangan minuman setiap hari tetapi buktinya sangat tidak pasti. Menerima BI berbanding TAU mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang melengkapkan rawatan.

Apakah akibat penggunaan alkohol semasa hamil?

Penggunaan alkohol semasa hamil boleh membawa kesan teruk kepada kedua-dua wanita hamil dan embrio serta janin. Amaun alkohol yang lebih tinggi dikaitkan dengan risiko terbesar; walau bagaimanapun, pendedahan alkohol pranatal rendah hinga sederhana juga dikaitkan dengan defisit tertentu semasa kelahiran. Sehubungan itu, sebarang penggunaan alkohol semasa hamil adalah berisiko , dan garis panduan semasa mengesyorkan untuk mengelakkan penggunaan alkohol semasa hamil. Namun begitu, di Eropah, kira-kira satu daripada empat ibu hamil melaporkan penggunaan alkohol semasa hamil.

Apakah rawatan yang sedia ada untuk menghentikan atau mengurangkan penggunaan alkohol semasa hamil?

Intervensi psikososial dan ubat-ubatan telah terbukti berkesan untuk penggunaan alkohol yang tidak sihat dalam populasi umum. Mereka yang mengalami gangguan penggunaan alkohol (AUD), gangguan mental di mana orang tidak dapat mengawal penggunaan alkohol mereka, boleh mendapat manfaat ubat-ubatan. Adalah tidak jelas jika rawatan ini berkesan dalam kalangan ibu hamil yang melaporkan penggunaan alkohol semasa hamil.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada intervensi psikososial atau ubat boleh membantu ibu hamil yang melaporkan penggunaan alkohol mengurangkan atau menghentikan tingkah laku sedemikian.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditempatkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan intervensi psikososial dengan ubat-ubatan atau kedua-duanya, tanpa rawatan, TAU, plasebo (rawatan palsu) atau rawatan lain untuk membantu Ibu hamil menghentikan atau mengurangkan penggunaan alkohol.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan lapan kajian melibatkan sejumlah 1369 ibu hamil yang melaporkan penggunaan alkohol semasa hamil. Dalam dua kajian, hampir separuh peserta telah didiagnosis dengan AUD semasa atau sebelumnya. Kebanyakan kajian (75%) berlangsung di Amerika Syarikat. Rawatan adalah BI, antara durasi 10 hingga 60 minit, terutamanya disampaikan dalam satu sesi atau beberapa sesi (sehingga lima). Kumpulan yang menerima BI dibandingkan dengan kumpulan yang menerima TAU. Wanita hamil menerima intervensi psikososial pada 15 minggu hamil, dan penggunaan alkohol dinilai pada 8 hingga 24 minggu selepas intervensi. Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat kepada kesan ubat AUD semasa hamil.

Kami dapati BI boleh meningkatkan kadar wanita yang terus abstinen. Bukti sangat tidak pasti tentang kesan BI terhadap bilangan minuman sehari. Akhirnya, kami mendapati BI mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang melengkapkan rawatan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan ubat AUD semasa hamil. Hanya dua kajian merekrut ibu hamil dengan AUD semasa atau seumur hidup; batasan ini bermakna kami tidak boleh merumus keputusan kami kepada ibu hamil yang mempunyai AUD. Kajian lanjut perlu untuk menilai kesan intervensi psikososial atau ubat dalam membantu ibu hamil dengan AUD untuk menghentikan atau mengurangkan penggunaan alkohol.

Kesan intervensi psikososial sebahagian besarnya dipengaruhi oleh konteks sosial; memandangkan kebanyakan kajian yang disertakan berlangsung di Amerika Syarikat, ini mengehadkan anggapan umum penemuan kepada negara-negara dan kumpulan etnik terpinggir yang tidak direkrut untuk kajian ini.

Di peringkat global, keputusan kami dianggap tidak konklusif.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 8 Januari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information