Kesan air berbanding cecair lain untuk pembersihan luka

Latar belakang

Jangkitan boleh mengganggu proses biasa penyembuhan luka. Untuk mengurangkan risiko jangkitan, luka dibersihkan secara rutin untuk mengurangkan kotoran, pencemaran atau kotoran. Dalam ulasan ini, luka ditakrifkan sebagai luka pada kulit.

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk menyiasat kesan pembersihan luka menggunakan pelbagai jenis air (seperti air paip, suling, dimasak) berbanding tanpa pembersihan atau dengan larutan lain (seperti air garam). Kami mengukur keberkesanan dengan melihat kadar jangkitan berkaitan luka dan penyembuhan luka.

Para penyelidik Cochrane mencari kajian rawak terkawal (RCT) yang berkaitan dengan soalan ini dan menjumpai 13 kajian yang relevan. RCT merupakan kajian di mana orang dipilih secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Memperuntukkan peserta dengan cara ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kemungkinan hubungan antara rawatan yang digunakan serta sebarang hasil kesihatan yang dilaporkan.

Mesej utama

Kami membandingkan pembersihan luka dengan air paip, air suling, air masak yang disejukkan atau air garam antara satu sama lain atau tanpa pembersihan. Ia tidak jelas sama ada intervensi-intervensi ini mempunyai kesan ke atas bilangan luka yang dijangkiti. Ia juga tidak jelas sama ada intervensi-intervensi tersebut mempunyai kesan atas penyembuhan (bilangan luka menyembuh; perubahan saiz luka; dan kadar penyembuhan luka); kos; kesakitan; atau kepuasan pesakit.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Luka biasanya dibersihkan untuk mengelakkan jangkitan. Air pembersihan boleh daripada air paip, air suling, air masak yang disejukkan atau air garam. Air paip biasa digunakan dalam komuniti kerana ia mudah didapati, efisien dan kos efektif; walau bagaimanapun, terdapat satu perbahasan tentang penggunaannya yang belum diselesaikan lagi. Kami membandingkan kesan pembersihan luka dengan air kepada jenis air yang lain, air garam dan tanpa pembersihan.

Kami menyertakan semua RCT yang membandingkan pembersihan luka menggunakan pelbagai jenis air (seperti air paip, suling, dimasak) dengan tanpa pembersihan atau dengan larutan lain (seperti air garam). Peserta adalah daripada pelbagai kumpulan umur dan persekitaran seperti hospital, komuniti, rumah jagaan, amalan am, klinik luka. Kami mengecualikan kajian yang membandingkan air untuk prosedur pergigian atau untuk pesakit yang melecur.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami memasukkan hasil daripada 13 RCT dalam ulasan ini, dengan jumlah gabungan 2504 peserta. Para peserta merupakan orang dewasa atau kanak-kanak dengan pelbagai jenis luka yang dirawat dalam komuniti, jabatan kecemasan atau wad hospital. Lapan kajian menilai pembersihan dengan air paip berbanding dengan pembersihan dengan air garam. Tiga kajian membandingkan pembersihan dengan air paip kepada tanpa pembersihan. Dua kajian menilai pembersihan dengan air suling berbanding pembersihan dengan air garam, satu kajian juga menilai pembersihan dengan air masak yang disejukkan berbanding pembersihan dengan air garam serta pembersihan dengan air suling berbanding pembersihan dengan air masak yang disejukkan.

Kami membandingkan pembersihan luka dengan air paip, air suling, air masak yang disejukkan atau air garam antara satu sama lain atau tanpa pembersihan. Ia tidak jelas sama ada intervensi-intervensi ini mempunyai kesan ke atas bilangan luka yang dijangkiti. Ia juga tidak jelas sama ada intervensi-intervensi tersebut mempunyai kesan atas penyembuhan (bilangan luka menyembuh; perubahan saiz luka; dan kadar penyembuhan luka); kos; kesakitan; atau kepuasan pesakit.

Kami tidak pasti sama ada intervensi-intervensi ini mempunyai kesan kerana bilangan peserta yang tidak mencukupi telah menerima setiap intervensi untuk menilai kepastian kesannya. Cara kajian direka dan dijalankan juga bermaksud bahawa keputusan mungkin tidak mencerminkan kesan intervensi dengan pasti. Ini sebahagiannya disebabkan oleh ketidakpastian tentang cara peserta diagihkan kepada kumpulan rawatan. Ia berkemungkinan bahawa ramai peserta dan penjaga kesihatan profesional mengetahui rawatan yang digunakan.

Sejauh manakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 20 Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information