Adakah ujian pemadanan penyumbat telinga beserta latihan tentang cara memasang penyumbat telinga membantu orang yang bekerja dalam persekitaran yang bising?

Mesej utama

• Ujian pemadanan penyumbat telinga yang diiringi arahan mudah untuk memasang penyumbat telinga dengan betul mungkin tidak menambahbaik pengurangan bunyi bising.

• Ujian pemadanan penyumbat telinga yang diiringi arahan yang ekstensif mungkin meningkatkan pelindungan daripada bunyi bising berbanding dengan tanpa arahan atau arahan mudah.

Mengapakah persekitaran kerja yang bising adalah suatu masalah?

Pendedahan kepada bunyi bising semasa bekerja dikaitkan dengan keadaan kesihatan yang serius, daripada kehilangan pendengaran dan tinnitus (bunyi berdering atau berdesing di dalam telinga tanpa sebarang sumber luaran), kepada kecederaan dan masalah jantung/saluran darah. Peranti pelindung pendengaran (HPDs) – seperti penyumbat telinga dan penutup telinga – biasa digunakan untuk mengurangkan pendedahan terhadap bunyi bising di tempat kerja. Terutama untuk penyumbat telinga, adalah diketahui umum bahawa banyak pekerja mengalami kesukaran untuk memasukkannya dengan betul ke dalam saluran telinga. Penyumbat telinga yang tidak dipasang betul tidak akan melindungi pendengaran seseorang dengan secukupnya.

Apakah itu sistem ujian pemadanan pelindung pendengaran?

Sistem ujian pemadanan pelindung pendengaran adalah teknologi yang mengukur sejauh mana bunyi bising dikurangkan (dilemahkan) pada telinga orang yang memakai penyumbat telinga atau peranti pelindung pendengaran yang lain.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ujian pemadanan pelindung pendengaran beserta latihan untuk memakai penyumbat telinga (atau peranti pelindung yang lain) secara sesuai adalah efektif untuk mengurangkan bunyi bising yang dialami oleh pekerja, dan sama ada mereka berterusan memakai penyumbat telinga secara konsisten. Kami juga ingin mengetahui sama ada umur, jantina, jenis penyumbat telinga, dan pengalaman seseorang menggunakan peranti pelindung pendengaran memberikan sebarang perbezaan terhadap keberkesanan ujian pemadanan dan latihan.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 3 kajian yang melibatkan 756 peserta. Mereka telah meneliti kesan memberikan arahan mudah atau ekstensif untuk memasang peranti pelindung pendengaran (semua kajian telah menggunakan busa atau penyumbat telinga praacuan) beserta dengan ujian pemadanan yang mengukur berapa banyak bunyi bising yang telah dikurangkan. Kami tidak menemui sebarang kajian yang meneliti sama ada ujian pemadanan dan latihan menggalakkan penggunaan pelindung pendengaran secara konsisten, mahupun sebarang kajian yang meneliti sama ada umur, jantina, atau pengalaman dengan pelindung pendengaran mempengaruhi pengurangan bunyi bising.

Keputusan utama

• Ujian pemadanan penyumbat telinga yang diiringi dengan arahan mudah mungkin tidak meningkatkan kadar penilaian peribadi pengurangan bunyi (PAR) daripada busa dan penyumbat telinga praacuan berbanding dengan tanpa arahan.

• Ujian pemadanan dengan arahan yang ekstensif mungkin meningkatkan pelindungan pekerja terhadap bunyi bising, diukur sejurus selepas ujian dan latihan tersebut, berbanding dengan tanpa arahan atau arahan yang mudah. Peningkatan dalam pelindungan sebanyak kira-kira 3 dB akan mengurangkan separuh kuasa bunyi di telinga, meningkatkan kesan pelindungan penyumbat telinga.

• Kesan ujian pemadanan mungkin bergantung kepada jenis peranti pelindung pendengaran dan kaedah latihan.

• Tiada kajian disertakan yang mengukur atau melaporkan kesan yang memudaratkan daripada ujian pemadanan dan latihan, dan kami tidak berpendapat bahawa ada kemungkinan yang kami akan menemui apa-apa.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sederhana hingga rendah terhadap bukti tersebut. Tahap keyakinan kami telah berkurang disebabkan oleh kajian yang kecil, dan kami mempunyai kebimbangan mengenai bagaimana peserta diperuntukkan kepada kumpulan mereka.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga Februari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information