Soalan ulasan
Adakah menukar kedudukan bayi meningkatkan hasil terapi cahaya untuk bayi cukup bulan dan pramatang dengan jaundis?
Mesej utama
Dalam ulasan sistematik ini, kami menilai kajian yang membandingkan kedudukan semula yang berjadual dan kedudukan semula yang tidak berjadual bagi bayi yang cukup bulan dan pramatang yang menjalani terapi cahaya untuk jaundis. Kedua-dua strategi kedudukan ini menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh masa terapi cahaya berlangsung atau di mana kadar paras bilirubin berkurangan. Bilirubin adalah bahan yang menyebabkan penyakit kuning, iaitu kekuningan pada kulit dan putih mata.
Tiada kajian yang disertakan dalam ulasan melaporkan kesan menukar kedudukan bayi terhadap kesan yang tidak diingini, termasuk sindrom kematian bayi secara mengejut.
Kajian pada masa depan harus mengkaji kedudukan semula bayi secara berjadual di bawah terapi cahaya serta melibatkan bayi yang sangat pramatang dan bayi yang mengalami semua jenis penyakit kuning.
Apa itu jaundis?
Jaundis (juga dipanggil hiperbilirubinaemia) adalah keadaan biasa pada bayi baru lahir yang menyebabkan kulit dan bahagian putih mata menjadi kuning, yang merupakan hasil daripada terlalu banyak bilirubin dalam darah. Bilirubin adalah bahan kuning yang dihasilkan apabila sel darah merah rosak. Oleh kerana hati bayi yang baru lahir tidak dapat mengeluarkan bilirubin dari darah mereka dengan berkesan, parasnya meningkat. Dalam sesetengah kes, bayi mengalami tahap bilirubin yang sangat tinggi dalam darah mereka, yang boleh menyebabkan kerosakan pada otak. Sebaik sahaja bayi berumur kira-kira dua minggu, hati mereka boleh memproses bilirubin, dan jaundis menjadi lebih baik dengan sendirinya.
Bagaimana penyakit kuning dirawat?
Rawatan yang paling biasa untuk jaundis adalah terapi cahaya (fototerapi). Bayi diletakkan di bawah lampu khas, dengan mata tertutup, hanya memakai lampin, supaya sebanyak mungkin kulit terdedah kepada cahaya. Fototerapi memecahkan bilirubin, yang kemudiannya boleh dikeluarkan daripada badan. Sesetengah bayi mungkin mengalami ruam atau cirit-birit dengan fototerapi, tetapi ia biasanya tidak menyebabkan kesan yang tidak diingini. Ia biasanya mengambil masa kira-kira 48 jam fototerapi untuk mengurangkan bilirubin ke tahap yang selamat pada kebanyakan bayi.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Meletakkan bayi terlentang dan kemudian ke sisi mereka semasa fototerapi mendedahkan bahagian kulit yang berbeza kepada cahaya dan mungkin dapat mengurangkan tahap bilirubin dengan lebih cepat. Kami ingin mengetahui sama ada fototerapi lebih berkesan jika bayi dialihkan pada masa yang ditetapkan, berbanding dengan mengekalkan mereka dalam satu kedudukan.
Kami amat berminat dengan kesan pada bayi cukup bulan (dilahirkan sehingga tiga minggu sebelum tarikh jangkaan lahir mereka) dan bayi pramatang dalam 28 hari pertama kehidupan. Kami ingin tahu sama ada menukar kedudukan bayi dapat mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk menjalani fototerapi; mengubah kadar di mana paras bilirubin berkurangan; atau menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini, terutamanya sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS, atau 'kematian katil bayi').
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat perubahan pada kedudukan badan berbanding tiada perubahan pada kedudukan badan untuk bayi baru lahir yang menjalani fototerapi untuk jaundis. Perubahan pada kedudukan badan bayi dan masa antara perubahan perlu mengikut jadual yang ditetapkan. Bayi perlu mengalami jaundis, dilahirkan dalam tempoh penuh atau pramatang, dan boleh menjadi lelaki atau perempuan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 5 kajian melibatkan sejumlah 343 bayi. Tiga kajian melibatkan bayi baru lahir yang sihat dan cukup bulan, manakala dua kajian lain melibatkan bayi yang cukup bulan dan pramatang. Semua kajian membandingkan perubahan kedudukan badan bayi secara berjadual dengan tanpa perubahan dalam kedudukan badan semasa fototerapi. Bayi boleh diletakkan terlentang, meniarap, atau sisi, dan kedudukan mereka akan diubah mengikut rancangan kajian. Perubahan dalam kedudukan adalah berdasarkan masa (setiap 30 minit hingga 6 jam); pengendalian bayi (contohnya selepas setiap sesi penyusuan); atau pertukaran dalam setiap syif kejururawatan (contohnya sekali semasa syif).
Keputusan utama
Mengubah kedudukan badan bayi di bawah fototerapi berbanding dengan tidak menukar kedudukan badan bayi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada tempoh masa fototerapi berlangsung (4 kajian, 231 bayi) dan kadar di mana paras bilirubin berkurangan 24 jam selepas memulakan fototerapi (1 kajian, 100 bayi). Kami tidak tahu sama ada menukar kedudukan badan menyebabkan kesan yang tidak diingini, kerana ini tidak dilaporkan oleh mana-mana kajian yang disertakan.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kami menemui sedikit kajian, dan kajian yang kami temui tidak menggunakan kaedah terbaik untuk menganalisis dan melaporkan keputusannya. Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai kesan yang tidak diingini.
Adakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 5 March 2021.
Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Bt Mohd Nasir@Azman(Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my